About Me

Wednesday, September 16, 2009

...maaf + itu + indah...

Seorang kawan Moon pernah kata... apabila kita memberi kemaafan, kita akan rasa kebahagiaan. Dahi Moon berkerut memikirkannya. Betul ke? Kalau kita tengah marah, disebabkan seseorang itu buat salah pada kita, masih boleh ke kita nak maafkan dia? Apatah lagi kesalahan yang sangat besar, yang boleh menjatuhkan maruah kita. Senangnya nak maafkan orang macam tu... Cantik sikit!

Terus terang Moon beritahu, Moon pernah rasa sakit hati dengan seseorang sampai tak nak bercakap dengan orang tu. Dia dah sakitkan hati kita, buat apa nak buat baik dengan dia. Kalau kita maafkan dia, lain kali dia sakitkan hati kita lagi. Moon ni nampak je lemah lembut, tapi keras hati. Dia yang sakitkan hati kita, dialah yang patut minta maaf dan mengaku silap dia. Kalau tak, jangan harap Moon nak tegur. Lantaklah...


Tapi bila umur makin dibawa arus masa, fikiran dah makin matang, dah banyak pengalaman... kata-kata kawan Moon tu, Moon renungkan kembali. Moon cuba memaafkan sesiapa saja yang pernah menyakitkan hati Moon. Benar... Moon rasa lapang jiwa ni. Tak ada perkataan yang boleh menggambarkan betapa indahkan sebuah kemaafan itu. Bukan jiwa je yang lapang, fikiran pun tak memikirkan perkara yang negatif.

Moon bersyukur... kerana selama hidup di dunia ni, Moon tak reti langsung nak berdendam. Kalau ada penyakit ni, lebih parah lagi. Pasti perkataan maaf susah nak wujud dalam diri. Sebenarnya, siapalah kita untuk tak memaafkan sesama insan. Sedangkan Nabi ampunkan umat. Sedangkan ALLAH maha pemberi maaf lagi maha pengampun... siapalah kita untuk melebihi Nabi dan ALLAH.

Di kesempatan ini, Moon nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua yang mengenali Moon. Moon minta ampun dari hujung rambut sampai hujung kaki kalau Moon ada buat salah dan silap. Moon cuma manusia biasa, tak pernah lepas dari kekhilafan, tak pernah sempurna luar dan dalam. Jika ada kekurangan di mana-mana, harap dapat ditegur supaya Moon boleh memperbaiki diri. Halalkanlah makan minum Moon. Moon juga memaafkan sesiapa saja yang pernah melukakan hati Moon. Langsung tak ada sekelumit perasaan benci dalam diri Moon.

Moon doakan kita sama-sama dapat pulang ke kampung atau ke mana-mana saja dengan selamat. Bagi mereka yang masih ada ibu bapa, dapatkanlah mereka, dan peluklah mereka dengan seikhlas hati, sepenuh kasih sayang. Mungkin aidilfitri kali ini, kali terakhir bersama mereka. Berbuat baiklah sesama insan kerana setiap kebaikan itu ada ganjarannya. Jika ada yang memerlukan bantuan atau kesusahan, hulurkanlah sesuatu yang baik sedaya yang ada. Insya-ALLAH... hidup kita akan dirahmati-NYA.


Sekali lagi Moon mohon maaf segala salah dan silap. Murahkan kemaafan dan perbanyakan keinsafan. Kerana maaf itu indah.


-end-

Monday, September 14, 2009

m.a.k.a.n.r.a.s.a.k.e.n.y.a.n.g

Ehem, ehem...
Fuh... masih okey. Blog Moon masih okey lagi. Lamanya Moon tak update blog. Sikap begini bukan dikira tak bertanggungjawab kan? Wakakaka... Sebab Moon masih menyapa mereka yang datang menjengah dan meninggalkan jejak kat chat box. Itu Moon masih kira sebagai mengambil berat pada blog sendiri.


Nak kata Moon busy sangat, takde jugak. Tapi banyak masa diguna untuk ke arah lain. Bulan puasalah katakan. Dan ada satu perkara yang Moon perasan. Puasa atau tidak, makan merupakan aktiviti wajib dalam kehidupan dan diberi fokus utama. Malah dalam setiap novel, sama ada novel Moon atau penulis lain, memang tak sah kalau tak ada scene makan. Makan dengan kawan-kawan, dengan keluarga, kekasih, musuh... oops! Ada ke? Mesti ada punya. Tempat makan pun mesti di restoran, di kafe, hotel, warung, gerai dan macam-macam lagilah.

Soal makan ni, tak kiralah sama ada orang tu gemuk ke... kurus ke... mesti makan jugak. Tak sikit, pastilah makan banyak. Moon tergolong dalam kategori makhluk bernyawa yang nak makan, tapi beringat-ingat. Makan nasi, tapi tak nak banyak-banyak. Tak tahulah itu dikira diet atau tidak, sebab ia memang bukan pemakanan seimbang. Moon bukan nak kurus melidi macam cicak kubing tu. Cuma Moon ngeri melihat bahagian-bahagian tertentu Moon yang membesar bagai johan. Wakakakaka...

Tapi makan tetap makan... itu nikmat dunia yang sementara. Orang yang kena pantang makan atas nasihat doktor, semuanya mengatakan bahawa mereka yang tak makan yang paling rugi. Sebab biasanya makanan yang dipantangkan, semuanya sedap-sedap. Kenapa ek? Pesan Moon; harta yang paling berharga dalam dunia ialah kesihatan. So, jaga diri dan jaga makan!

Ada beberapa gambar yang diambil ketika Moon dan officemate dalam acara makan beramai-ramai. Kita tengok yang sehari sebelum puasa dulu.













Yang ni pulak, gambar masa buka puasa hari ke-20 Ramadan. Tetap nak adakan acara makan-makan. Wakakaka... Makanlah selagi boleh.






























-end-