About Me

Saturday, February 18, 2012

...mengimbas & mengimbau...

Ini antara scene yang paling Moon suka dalam 
novel UCAPKAN KAU RINDU.
Baca sampai habis tau!
(^_^)v 

BERLARI-LARI Lailana, Dina dan Aliza menuju ke kafeteria apabila tepat jam 1.00 petang. Waktu rehat sudah bermula! Jika lambat tiba, ruang kafeteria akan sesak sehingga tidak boleh bernafas. Malah, makanan juga hanya akan tinggal sisa. Mereka tidak mahu menelan liur sambil mata terkebil-kebil. Hendak makan di luar bangunan itu, terlalu mengambil masa. 
Cepat-cepat Lailana beratur mendahului yang lain-lain untuk mengambil makanan. Semua lauk membuka seleranya. Lauk ayam, daging, udang, sotong dan ikan semuanya ada. Masakan di kafeteria ini tidak pernah mengecewakan. Harga juga sangat berbaloi.
Lauk pilihannya hari ini ialah opor daging dan sayur kailan goreng. Melihat orang ramai mula memenuhi kafeteria, dia mula meninjau-ninjau meja kosong. Matanya terarah ke sebuah meja di tengah-tengah ruang itu.
“Dina, Liza... aku cop tempat duduk dulu. Dah ramai orang ni.”
Dina dan Aliza mengangguk lalu kembali memilih lauk kegemaran masing-masing. Setelah membayar harga makanan, Lailana terus menuju ke meja yang kosong itu. Sebaik sahaja berlabuh di situ, baru dia perasan yang dia belum mengambil sudu, garpu dan tisu. Dia juga lupa membeli minuman! Nampaknya, dia terpaksa meninggalkan meja ini buat seketika. Meja yang dicop, pasti tiada siapa yang berani duduk, fikirnya di dalam hati.
Segera dia berlalu dari situ. Hingar-bingar yang menyusuk gegendang telinga langsung tidak dihiraukan. Dia sudah biasa dengan suasana sebegini. Tiga tahun bekerja di situ, membuatkan dia sudah lali walaupun suasananya mengalahkan pasar. Mujur kaunter minuman berasingan. Cepat sahaja dia sudah mendapat air limau ais. Dia kembali ke meja semula apabila sudu, garpu dan tisu berada di tangannya.
Tiba-tiba darahnya seakan-akan menggelegak apabila terpandang seorang lelaki sedang enak berselera menikmati hidangannya di meja tadi. Dia tidak pasti siapa lelaki itu. Lelaki itu duduk membelakanginya.
Tak guna! Tak tahu malu langsung makan makanan orang. Dasar pelahap! Nak kena ni! Kalau tak ada duit, janganlah nak mengebas makanan orang. Aku tengah lapar ni. Nanti aku makan kau, baru kau tahu! Lailana membebel di dalam hati kegeraman sambil menghampiri lelaki itu.
Dia mengintai lauk yang lelaki itu makan dari belakang. Sah! Memang makanannya sedang dikebas. Bersungguh-sungguh pula lelaki itu makan. Tidak dihirau orang di sekeliling. Api kemarahan mula menyala dan membakar hatinya menyaksikan lelaki itu. Kepala lelaki itu ditunjal dari belakang hingga hampir-hampir menyebamkan mukanya ke dalam pinggan.
Lelaki itu tersentak, lalu memandang Lailana dengan hati yang membengkak. “Hoi, tak ada otak ke? Tak nampak ke orang tengah makan ni?” jeritnya.
Suasana kafeteria menjadi sepi. Semua memandang ke arah suara jeritan yang menggegarkan itu.
“Siapa yang tak ada otak? Aku ke engkau? Apasal kau makan nasi aku? Mana pergi otak kau?” balas Lailana. Dia bengang apabila dijerit sebegitu oleh lelaki tidak tahu malu itu. Mata yang memandang ke arahnya tidak dipedulikan. Kemarahannya kini terlalu bergelodak.
Lelaki itu tersenyum sinis. “Nasi kau ke ni? Perempuan gila!” Dia kembali meneruskan suapan yang tergendala sebentar tadi dengan aksi selamba.
Terpana Lailana mendengar kata-kata lelaki itu. “Kurang ajar! Nasi aku kau kebas, sedap aje mulut kau mengata aku. Lelaki hobo!”
Terhenti kunyahan lelaki yang bermata kuyu itu. Dia memandang Lailana dengan dahi berkerut. “Hobo? Bahasa apa kau pakai ni? Bahasa orang utan agaknya...”
Sakit hati Lailana diperli sebegitu. “Hobo tu, hodoh dan bodoh! Bagi balik nasi aku tu.” Dia sudah bersedia mahu mengambil pinggan yang sudah berluak suku itu. Dia tidak kira, yang penting dia dapat makan tengah hari.
Mulut lelaki itu berdecit-decit. “Kesian... Pengemis rupanya.” Lalu dia menggeleng-geleng.
Semakin menggelegak darah Lailana. Telinganya terasa nipis dan panas. Limau aisnya dihala kepada lelaki itu. “Aku jirus kau dengan air ni karang! Bercakap ikut sedap mulut aje. Dah kebas nasi aku, kau tunjuk hebat pulak. Kalau tak ada duit nak beli, jangan curi makanan orang. Pergi merempat tepi jalan. Sekurang-kurangnya, tak makan benda haram.” 
Lailana berasa bahunya ditepuk perlahan. Dia menoleh. Kelihatan Dina tersenyum-senyum. Namun, senyuman itu tidak menjadi.
Dina berbisik rapat ke telinga Lailana. “Itu memang nasi dia. Nasi kau aku bawa ke meja sana.” Ditunjukkan ke hujung satu arah. 
Mata Lailana terbeliak. Dia memandang ke arah yang Dina tunjuk. Pantas Aliza dan Suhaiza melambai-lambainya dari meja itu. 
Alamak! Apa yang aku buat ni? Malunya aku. Bodohnya aku. Lailana menggerutu di dalam hati. Mukanya mengeriut seperti makan asam boi masin. Dia melihat sekeliling sambil menggigit bibir. Semua mata masih memandangnya. Terasa malu diperhatikan sejak tadi. Panas mukanya menahan malu. Dia beralih ke wajah Dina pula. Temannya itu terkulat-kulat. Lelaki bermata kuyu itu dipandang juga. Lelaki itu sedang tersenyum sinis!

-*-*-*-*-*-*-

Scene ni imaginasi Moon je. 
Tak tahulah benar-benar ada terjadi atau tak.
Macam tak ada kot.
Berebut nasi kat restoran. Hurrmm.... mesti tak ada punye!

~end~