About Me

Wednesday, June 27, 2012

...portugal VS sepanyol...

Kita akan masuk ke dalam situasi yang serius kerana.....
INI SERIUS.
( hihiikk..... :P )

Tinggal empat negara sahaja dalam kejohanan EURO 2012. Keempat-empat negara ini pastinya berjuang habis-habisan untuk menjuarai kejohanan utama Eropah ini terutamanya Portugal kerana belum pernah memenanginya meskipun tergolong dalam salah sebuah pasukan elit dunia. Berbeza dengan tiga lagi negara iaitu Jerman (3 kali), Sepanyol (2 kali) dan Itali (1 kali).

Hasil penelitian yang dilakukan pada semua pasukan ini, semuanya mempunyai kelebihannya sendiri. Di atas kertas, besar kemungkinan final akan mempertemukan Sepanyol dan Jerman. Namun, di atas padang apa sahaja boleh berlaku. Lihat sahaja dalam pusingan kumpulan, banyak kejutan telah berlaku. Belanda yang ketika ini berada di ranking ke-4 dunia pun tidak mampu memasuki suku akhir. Malah, tumpas dalam kesemua perlawanan dan pulang dengan kosong mata, sesuatu yang amat memalukan bagi pasukan yang terdiri daripada bintang-bintang bola sepak terkenal seperti Robin van Persie, Wesley Sneijder, Rafael van der Vaart, dan Arjen Robben.

Portugal ketika ini berada di tangga ke-10 dunia ranking FIFA. Kelebihan yang ada pada Portugal ialah memiliki Cristiano Ronaldo. Menurut ketua jurulatih pasukan Sepanyol, Vicente del Bosque, Cristiano Ronaldo akan diikat habis-habisan oleh pertahanan Sepanyol pada perlawanan separuh akhir nanti kerana Ronaldo merupakan individu yang sangat berbahaya. Selain itu Portugal turut memiliki Nani yang mempunyai gaya permainan seakan Ronaldo. Pendek kata, Portugal memiliki kelebihan dari segi permainan individu. Namun di barisan tengah pasukan terdapat sedikit lompong kerana hanya mengharapkan Raul Meireles semata-mata. Kekurangan dari segi teknikal agak terserlah kerana mereka ketandusan pemain tengah yang betul-betul mampu menjana atau mencorakkan permainan seperti pemain senior mereka Deco, Tiago, Maniche dan Luis Figo. Mereka benar-benar kelihatan terlalu bergantung kepada kreativiti Ronaldo sebagai ketua pasukan.


Sepanyol mempunyai kelasnya tersendiri. Selaku pasukan nombor satu dunia di ranking FIFA, pastinya tumpuan terarah kepada mereka untuk menjuarai kejohanan kali ini. Selepas memenangi EURO 2008 dan Piala Dunia 2010, Sepanyol berpeluang sekali lagi untuk memenangi kejohanan kali ini kerana barisan pemain sedia ada masih mantap. Terkenal dengan permainan teknikal, Sepanyol kelihatan serba lengkap dan sukar untuk dikalahkan. Namun, pasukan ini juga mempunyai kekurangan yang sangat ketara. Bahagian serangan Sepanyol tidak setajam dahulu, malah mereka lebih suka menumpukan fokus pada bahagian tengah. Buktinya penyerang utama mereka iaitu Fernando Torres sering kali diletakkan di bangku simpanan sahaja. Ketiadaan David Villa akibat kecederaan melumpuhkan serangan pasukan. Del Bosque juga sanggup meletakkan enam pemain tengah tanpa ada sebarang penyerang ketika bertemu Itali di peringkat kumpulan. Memang diakui pemain tengah Sepanyol semuanya terlalu mantap dan boleh dikatakan gabungan mereka menjadikan permainan Sepanyol sangat kreatif dengan kawalan yang menarik. Namun bahagian serangan tetap diperlukan.

Perlawanan separuh akhir pertama EURO 2012 yang menemukan Portugal dan Sepanyol malam ini dilihat agak menarik dengan kawalan bola pastinya lebih banyak kepada Sepanyol. Portugal pasti cuba bermain counter-attack kerana mereka mempunyai larian yang pantas di kiri dan kanan padang. Apabila bermain counter-attack, Portugal akan banyak membuat hantaran bola tinggi dengan mengharapkan penyerang mereka sama ada Cristiano Ronaldo atau Hugo Almeida menyambut dan membuat gol. Sebaliknya, Sepanyol akan bermain secara hantaran pendek dan rendah. Portugal tetap harus berhati-hati kerana Sepanyol apabila menyerang akan menggunakan segala kreativiti yang kadangkala tidak disangkakan.

Apapun pada malam ini saya menjangkakan Sepanyol akan menang 1-0. Jika perlawanan berlanjutan hingga ke sepakan penalti, Sepanyol tetap akan menang kerana Iker Casillas merupakan seorang penjaga gol yang sangat berkaliber dan berpengalaman.

-*-*-*-*-*-*-

Jauh di sudut hati sebenarnya Moon nak Sepanyol kalah.
Harap-harap final nanti Portugal yang jumpa Jerman.
Dah tentulah senang Jerman nak lanyak Portugal.
Hahahaa..... 

Sori, sori.....
Penyokong Sepanyol dengan Portugal jangan marah taw.
Peace! (^_^)v

~end~

No comments: