About Me

Thursday, December 27, 2018

...peluh di tangan bahaya?...

“Doktor, tapak tangan saya berpeluh banyak sangat sampai tak boleh buat kerja. Kenapa, ya?”

Ada tak sesiapa yang alami masalah macam ni?

Kondisi ini dinamakan hiperhidrosis, iaitu peluh berlebihan adalah keadaan di mana terdapat peluh di luar keperluan fisiologi badan. Kondisi ini tidak membahayakan nyawa, namun boleh memberi kesan yang ketara pada kualiti hidup individu yang mengalaminya.

Antaranya:
— Kerap mengelap tangan. 
— Sukar pegang barang, menulis dan bermain alat muzik. 
— Sukar beriadah atau bersukan. 
— Malu bersosial kerana badan dan ketiak berpeluh. 
— Bau busuk di bahagian ketiak dan kaki.

Hiperhidrosis ini mungkin disebabkan faktor keturunan. Lazimnya bermula ketika zaman kanak-kanak atau remaja. Ada sesetengahnya hilang setelah mencapai umur dewasa, namun ada yang berterusan hingga ke tua.

Apa puncanya?

*Hiperhidrosis Primer: Berlaku apabila sistem saraf simpatetik yang mengawal aktiviti kelenjar peluh terlalu aktif. Namun, punca ia berlaku masih tidak diketahui. Biasanya berlaku di tapak tangan dan kaki serta ketiak. Sesetengahnya di muka dan di belakang badan.

*Hiperhidrosis Sekunder: Berlaku disebabkan oleh penyakit seperti kencing manis, obesiti, hipertiroidisme, jangkitan seperti batuk kering (tuberculosis) dan kanser kelenjar limfa seperti limfoma. Secara amnya ia memberi kesan kepada seluruh badan.

Selain itu, ada beberapa pemangkin kepada kondisi ni:
— Tekanan emosi 
— Senaman
— Kepanasan/haba 
— Makanan pedas

Apakah pilihan rawatan yang ada?

*Ubat topikal antipeluh: Boleh guna spray antiperspiran dan deodoran komersial. Jika tak berkesan, gunakan aluminium klorida heksahidrat. Ia memerlukan penggunaan setiap hari untuk 7 hingga 10 hari terawal berturut-turut, kemudian sekali seminggu untuk mengekalkannya.

*Ubat makan antipeluh: Ubat antikolinergik berfungsi dengan menghalang aktiviti asetilkolina yang bertanggungjawab mengaktifkan sistem simpatetik. Ini akan mengurangkan penghasilan peluh. Contoh ubat antikolinergik: glycopyrrolate dan propantheline bromida.

*Iontophoresis: Ia adalah proses mengalirkan tenaga elektrik menerusi lapisan kulit menggunakan air sebagai medium. Pada awal sesi rawatan, ia mengambil masa lebih kurang 20 minit setiap 2 atau 3 hari. Selepas itu setiap sesi rawatan boleh dijalankan setiap 2 minggu.

*Suntikan Botulinum Toxin (botox): Rawatan ini melibatkan suntikan botox pada kawasan yang terlibat dan perlu diulangi setiap 4 hingga 5 bulan. Kesan daripada pengambilan botox termasuk rasa sakit dan lemah otot yang sementara.

*Pembedahan Simpatektomi Toraks Endoskopi (ETS): Prosedur ini dilakukan jika langkah-langkah yang lain telah gagal. Pakar bedah akan membuat belahan kecil di bawah ketiak dan memasukkan instrumen endoskopik khas ke dalam dada untuk memotong saraf simpatetik.

Jika anda ada tanda-tanda hiperhidrosis, jumpalah doktor. Doktor akan periksa punca anda mengalami hiperhidrosis dan kemudian mencadangkan rawatan yang sesuai untuk anda.

~end~

No comments: