Bila sebut Mahsuri apa yang terintas dalam fikiran anda?
Langkawi. Sumpahan. Fitnah.
Ya.. orang Melayu tak terlepas daripada FITNAH. Dan ini kisah seorang Mahsuri binti Pandak Mayah.
Kira-kira dua abad dahulu, di sebuah kampung yang terletak di Mukim Ulu Melaka tinggal 1 keluarga tiga beranak. Si bapa bernama Pandak Mayah, si isteri Mak Andak Alang dan bersama seorang anak bernama Mek Yah. Keluarga miskin ini mencari sumber rezeki dengan cara pertanian.
Nasib keluarga ini mula berubah selepas Pandak Mayah mencari kerbaunya yang hilang. Tiba-tiba hujan lebat. Jadi dia singgah sekejap di pondok lama yang ada di situ. Ketika berada dalam pondok itu dia terdengar bunyi tangisan bayi.
Dia memandang ke seluruh tempat di dalam pondok itu hendak mencari di mana kanak-kanak itu tetapi tidak ada tanda-tanda ada manusia di mana-mana pun. Satu benda luar biasa yang dilihatnya di dalam pondok itu hanyalah sekeping kerak nasi di atas lantai pondok tersebut.
Diambil sedikit kerak nasi itu kerana hendak diperiksa. Dia berasa takjub kerana dengan serta-merta tangisan kanak-kanak itu berhenti. Sebab tu orang dulu-dulu kalau makan biar sampai habis. Kalau tak, nasi menangis.
Dalam masyarakat Melayu petani, padi adalah simbol kemakmuran dan punca rezeki yang perlu dihormati. Isterinya memberitahu bahawa mengikut kepercayaan orang tua-tua, tangisan bayi seperti itu ialah tangisan 'semangat buah padi'.
Sejak hari itu, Mak Andak Alang selalu mencampurkan kerak nasi itu dengan nasi yang ditanak. Kehidupan keluarga Pandak Mayah semakin berubah semenjak mereka makan nasi yang bercampur dengan kerak nasi itu. Rezekinya mula bertambah dan isterinya hamil lagi.
Apabila tiba masa, Mak Andak Alang pun melahirkan bayi perempuan yang comel dinamakan Mahsuri. Apabila Mahsuri berumur seminggu, Pandak Mayah bermimpi bahawa dia hendaklah membawa anak itu mandi di sebuah kolam yang tak jauh dari rumahnya. Dia pun pergi.
Bak kata orang rezeki anak itu luas. Maka dengan izin Tuhan dia jumpa batu kemenyan. Masa tu batu kemenyan ni sangat mahal. Jadi, dia pun menjual batu kemenyan itu. Hasil jualan batu itu membuatkan dia jadi kaya-raya.
Apabila Mahsuri meningkat remaja, rupanya sangat cantik dan ramai orang datang ke rumahnya membawa hadiah. Sebagai seorang gadis yang telah membesar dengan adab, dia pandai melayan tetamu yang datang serta bertimbang rasa dengan semua org.
Pada masa itu tidak ada perempuan yang boleh menandingi kecantikan Mahsuri di seluruh Pulau Langkawi itu. Rupanya yang sangat cantik, kulitnya mulus, pipi pauh dilayang, bibir merah delima merekah, rambutnya yang ikal mayang menjadi idaman setiap orang.
Pada masa itu Langkawi telah diperintah oleh seorang pembesar yang dianugerahi oleh Sultan dengan gelaran Dato' Seri Kerma Jaya dan isterinya bernama Mahura. Apabila Dato' itu mendengar cerita tentang Mahsuri dan peri kecantikannya serta budi bahasanya itu, beliau tergoda.
Apabila Dato' itu sampai di rumah Pandak Mayah, didapatinya Pandak Mayah dan isterinya tidak ada di rumah. Yang ada cuma Mahsuri seorang. Dia pun membuka pintu dan memberitahu Dato' itu bahawa ibu dan bapanya tak ada di rumah dan akan balik senja kelak.
Dato' itu mengatakan bahawa dia tak dapat menanti dan akan datang sekali lagi pada suatu hari kelak.
Dato' itu telah tertarik oleh budi bahasa dan kecantikan Mahsuri dan dengan serta-merta timbullah dalam hatinya bahawa dia ingin mengambil Mahsuri untuk dijadikan isteri. Tapi Mahura membantah dengan keras.
Dato' Seri Kerma Jaya miliki seorang anak bernama Mat Derus. Setelah berbaik-baik semula dengan isterinya, Dato' itu berpakat dengan isterinya hendak meminang Mahsuri untuk anaknya itu. Mahura bersetuju.
Pandak Mayah serta isterinya telah menerima kedatangan orang-orang pihak Dato' itu mengikut adat istiadat dan mereka pun bersetuju atas peminangan itu. Tidak berapa lama kemudian majlis perkahwinan diadakan secara besar-besaran.
Selepas perkahwinan itu, sepasang suami isteri itu pun tinggal bersama-sama dengan aman sentosa dan rukun damai. Bulan berganti bulan, maka Mahsuri pun hamil. Suaminya Mat Deris telah pergi ke Siam kerana urusan perniagaan. Sebagai seorang pedagang, lama dia tidak pulang ke rumah.
Dalam masa Mat Derus tidak ada, datang seorang pengembara Melayu muda lagi miskin ke Langkawi. Namanya Deramang. Orang ini dilahirkan di Melaka. Dia mengembara ke seluruh Semenanjung sampailah ke Perlis. Dari Perlis dia menyeberang ke Langkawi untuk bersyair.
Deramang mempunyai suara yang sangat merdu, sangat pandai berpantun dan membaca cerita dalam bentuk prosa. Suatu hari dia datang singgah untuk berehat sebentar di rumah Mahsuri. Mahsuri kasihan melihatkan keadaan pengembara miskin ini, lalu mempelawa dia tinggal di rumahnya. Tapi dengan izin ibu bapanya.
Deramang menerima pelawaan itu serta mengucapkan terima kasih kepadanya. Sebagai seorang yang celik huruf, Deramang ahli membaca hikayat dan syair. Pandak Mayah selalu meminta Deramang membacakan hikayat dan syair pada waktu malam di rumahnya.
Pada setiap malam Deramang akan bersyair dan bercerita. Orang-orang yang tinggal berdekatan di situ datang ke rumah Mahsuri mendengar syair dan cerita Deramang. Acara ini telah menjadikan rumah Pandak Mayah sebagai tempat tumpuan ramai. Mahsuri juga seorang peminat setia Deramang.
Beberapa bulan kemudian Mahsuri pun melahirkan anaknya yang pertama seorang lelaki dan telah diberi nama Mat Arus. Disebabkan usianya yang baru lahir maka tidak banyak yang diceritakan tentang anak lelaki Mahsuri ini.
Oleh sebab baik budi dan ramah mesra Deramang dan Mahsuri, lebih ramai orang datang ke rumah Mahsuri dan sedikit sahaja yang datang ke rumah Dato' Seri Kerma Jaya. Kemahsyuran Mahsuri semakin melonjak kerana namanya sentiasa meniti di bibir mulut setiap orang.
Mahura berasa iri hati pada Mahsuri kerana namanya terkenal. Dia sentiasa terkenangkan niat suaminya yang pernah hendak memperisterikan Mahsuri. Hal tersebut telah menimbulkan perselisihan antara dia dengan suaminya itu.
Dia rancang nak memfitnah Mahsuri. Rencana FITNAH ini diatur dengan baik tanpa ada cacat cela.
Pada suatu malam Mahura meminta izin daripada suaminya Dato' Kerma Jaya hendak pergi ke rumah Mahsuri dengan alasan hendak mendengar Deramang bersyair dan bercerita. Dato' telah mengizinkan dia pergi. Dia pun berpura-pura pergi ke rumah Mahsuri.
Beberapa ketika kemudian, sebelum sampai ke rumah Mahsuri, Mahura berlari balik ke rumahnya dengan termengah-mengah serta menangis-nangis memberitahu suaminya bahawa dia telah melihat Mahsuri dan Deramang sedang bercumbu-cumbuan. Malah dia memberitahu Deramang memakai cincin pemberian Mahsuri.
Benar, Deramang ada memakai cincin. Cincin itu dihadiahkan kepadanya oleh Mahsuri dengan izin bapanya kerana menghargai jasa Deramang dalam menghiburkan hatinya dengan bersyair dan bercerita selama masa suaminya meninggalkan rumah begitu lama. Tetapi Mahsuri setia orangnya.
Apabila mendengarkan cerita Mahura itu, maka timbullah radang Dato' Seri Kerma Jaya. Keesokan pagi dia terus mengerah orang-orangnya untuk menangkap Mahsuri tanpa usul periksa. Dijatuhkan pula hukuman tanpa perbicaraan.
Hukuman bunuh menanti mereka berdua. Orang-orang Dato' Kerma jaya itu pun pergilah ke rumah Mahsuri di Mawat. Mereka dapati dia tidak ada di rumah. Dia telah pergi ke suatu tempat yang tidak jauh dari rumahnya sambil mendodoikan anaknya di dalam buaian di bawah sepohon kayu.
Orang-orang itu telah pergi ke tempat itu lalu berjumpa dengan Mahsuri. Dia diberitahu bahawa mereka telah diperintahkan oleh Dato' untuk menangkap dan membunuh dia kerana kelakuan sumbangnya bersama Deramang. Mahsuri terus dibawa ke suatu tempat bernama Padang Hangus. Ada yang kata Padang Masitat.
Mahsuri berasa hairan kerana pada malam itu Deramang tiada di rumah kerana keluar mengambil angin. Tetapi orang-orang Dato' Kerma Jaya tetap berkeras membawa Mahsuri ke sana atas perintah Dato' sendiri. Mahsuri tak mengerti mengapa dia dituduh sampai macam tu sekali.
Pandak Mayah sedang berada di dalam rumahnya mendapat khabar malapetaka yang menimpa anaknya itu. Dia pun bergegas membawa tujuh buah kereta lembu yang penuh berisi wang untuk menebus anaknya dengan harapan anaknya akan dikembalikan semula. Namun usaha itu turut gagal.
Perkhabaran berkenaan hukuman yang akan dijatuhkan ke atas Mahsuri itu telah merebak dengan pantas ke seluruh kampung di mukim itu. Ramai orang telah membantah perintah tersebut. Tetapi apa pun tidak dapat memujuk hati Dato' itu mengubah keputusannya.
Beratus-ratus orang telah berhimpun di Padang Hangus hendak menyaksikan pelaksanaan hukuman bunuh itu. Di saat-saat genting itu, ada satu permintaan Mahsuri yang terakhir iaitu hendak menatap wajah anaknya buat kali yang terakhir. Tetapi Dato' Kerma Jaya tidak membenarkannya.
Hari hukuman telah pun tiba. Mahsuri diikat pada sebatang pokok asam jawa. Dua bilah lembing tajam digunakan. Apabila lembing ditikam ke tubuh Mahsuri yang lemah itu pada kedua-dua belah bahagian lembut bahunya, mata lembing yang tajam itu tidak dapat menembusi badannya.
Pada ketika itu, Mahsuri amat terseksa kerana menahan sakit lembing yang ditikam walaupun tidak lut. SeIepas segala percubaan yang gagal itu, Mahsuri memberitahu mereka bahawa jika mereka betul-betul hendak menjalankan hukuman membunuh terhadap dia, dia mempunyai sebilah lembing kepunyaannya sendiri di rumahnya dan senjata itulah sahaja yang boleh membunuhnya.
Lembing tersebut dipercayai sebagai 'Lembing Sakti'. Maka perintah pun dikeluarkan untuk pergi mengambil lembing yang disimpan oleh Mahsuri tersebut di rumahnya.
Ramai yang memohon dan merayu supaya Mahsuri dilepaskan tetapi Dato' Kerma Jaya tetap dengan keputusannya itu disebabkan termakan hasutan Mahura. Dengan sekali tikaman maka dengan tiba-tiba keadaan yang cerah bertukar menjadi ribut. Angin bertiup marah.
Suasana menjadi gelap dengan awan yang kian memberat airnya. Seperti mengetahui bahawa insan yang dianiya tersebut tidak rela menumpahkan darah di atas bumi Langkawi. Dengan siulan angin yang menggila semua orang menjadi panik. Air mata mula tertumpah di pipi si mulus itu.
Sekalian rakyat jelata di situ melihat darah putih memancut-mancut ke atas lalu terbentuk seperti payung di atas kepalanya. Peristiwa ini membuktikan bahawa dia adalah seorang wanita yang suci daripada dosa. Darah yang suci dari cemuhan sang pendosa. Suasana sangat sayu ketika itu.
Sebelum Mahsuri menghembuskan nafasnya yang terakhir dia sempat bersumpah dengan suara yang jelas bahawa disebabkan perbuatan mereka yang zalim ini, Langkawi tidak akan makmur dan tidak akan menikmati keamanan ibarat Padang jarang padang terkukur selama 7 keturunan.
“Wahai rakyat jelata, aku Mahsuri bersumpah bahawa Langkawi akan menjadi padang jarak padang terkukur selama 7 keturunan dan aku haramkan darah ini mengalir di bumi Langkawi.”
Deramang juga akhirnya dibunuh walaupun pada mulanya dia melawan. Beberapa tahun kemudian Langkawi telah diserang oleh Siam. Ramai rakyat yang telah ditawan dan dibinasakan oleh tentera-tentera Siam. Kesemua ahli keluarga Dato' Kerma Jaya dibunuh oleh tentera yang menyerang itu.
Dato' Kerma Jaya melarikan diri bersama bersama orang kuatnya, Panglima Hitam. Malangnya, Dato' Kerma Jaya ditangkap oleh tentera Siam di Sungai Langkanah dan diseksa serta dibunuh dengan kejam. Begitu juga dengan Mahura yang dirogol dan diseksa dengan kejam oleh tentera Siam.
Pulau Langkawi tidak pernah makmur kerana kegiatan lanun dan jenayah berleluasa. Malah keadaan di Langkawi ketika itu betul-betul seperti padang jarak padang terkukur. Ini kerana apa sahaja tanaman yang diusahakan tidak akan menjadi kerana tanah menjadi rosak dan tidak subur.
Namun menjelang 1980-an, Langkawi menjadi lebih makmur dan mengalami sedikit perubahan ketika itu. Dipercayai disebabkan lahirnya keturunan ke 7 Mahsuri sekali gus menamatkan segala sumpahan Mahsuri ke atas Pulau Langkawi.
Allah Maha Adil. Orang yang terania tetap terbela. Nama Mahsuri terus harum dan tidak menjadi bahan celaan. Semoga menjadi pengajaran buat kita yang masih hidup.
Inilah Keturunan ke-7 Mahsuri iaitu Sirintra Yayee atau Nong May atau nama Melayunya, Wan Aishah binti Wan Nawawi menetap di Pulau Phuket, Thailand ketika pertama kali dijejaki.
~end~
No comments:
Post a Comment