About Me

Friday, August 29, 2008

BiLa mAsiH bErnAfaS...


Pada 31 Ogos 2008 ini, negara kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-51. Bermacam-macam acara diadakan untuk memastikan rakyat Malaysia tidak lupa bahawa negara kita dahulu pernah bertumpah darah untuk menghalang negara dijajah. Malaysia adalah hak rakyat Malaysia. Maka, buktikanlah negara yang kita cinta ini dipertahankan agar tiada kuasa jajahan luar kembali menaklukinya lagi. Sayangilah MALAYSIA...
Sebagai umat Islam yang patuh pada ALLAH dan rasul-NYA, rukun Islam yang ketiga ini memang ditunggu-tunggu kedatangannya. Selamat menyambut kedatangan Ramadan al-Mubarak yang penuh dengan keberkatan. Semoga kita diberi peluang untuk menikmati rahmat ALLAH di bulan ini. Dan berdoalah supaya puasa kita ini akan memberikan kita kekuatan spiritual dan latihan disiplin diri terhadap tuntutan nafsu.

Friday, August 15, 2008

tEtaP daLaM kEnaNgAn...

Sejauh mana kita membawa diri, kenangan jua yang mengekori.
Biarlah ia disimpan sebagai hadiah untuk masa depan.

Kerana ia dicipta untuk terus diingati, demi memperbaiki kesilapan diri.

Monday, August 11, 2008

aKu mEnuLis buKaN keRaNa nAMa...

Salam buat pembaca blog.... Moon menyepi seketika melakar tinta di sini. Sengaja mengambil peluang untuk berfikir dan berfikir secara lebih idealistik. Kadangkala bila selalu menulis, kita tidak berkesempatan menggunakan deria yang lain. Banyak yang boleh didengar, ada perkara yang mesti kita baca dan lebih masa diperlukan untuk menghayati.

Ramai yang bertanya dan tertanya-tanya. "Bila Moon menulis? Macam mana dapat idea? Apa perasaan sekarang?" Dan... biasanya soalan-soalan itu diakhiri dengan, "Senyap-senyap aje menulis. Tahu-tahu dah ada novel dah..." Memang jenuh juga nak menjawab soalan yang sama dengan berlainan orang. Tapi Moon tak pernah rasa bosan bila bercerita tentang itu.

Moon fikir, ada baiknya jika Moon catatkan perjalanan yang penuh liku dalam menghasilkan sesebuah manuskrip. Kerana Moon berasakan ia adalah satu rentetan kisah yang akan menjawab bisikan-bisikan yang kurang manis Moon dengar.

Bila Mula Menulis?
Kali pertama Moon dapat menyiapkan sebuah manuskrip novel ialah pada tahun 2004. Boleh tahan ketebalannya, lebih kurang 400 halaman kalau Moon tak silap. Dengan tajuk Sayangi Daku dan bertemakan penganiayaan kanak-kanak, manuskrip itu dihantar ke ALAF 21. Percubaan itu GAGAL mendapat tempat di hati para editor. Apa yang dapat Moon simpulkan daripada keputusan itu, kisah cinta yang menjadi perhatian pembaca.

Usaha Moon untuk menulis tidak terhenti begitu sahaja. Cuma mengambil masa untuk bangkit semula. Moon kembali menulis pada 2006 setelah setahun mencari ilham. Wahahaha... Pada awal Januari 2007, baru Moon hantar ke ALAF 21 setelah dua kali manuskrip itu disemak. Bimbang kalau-kalau ada yang membuatkan ia direject. Manuskrip yang bertajuk Sebutlah Namaku dan bernama pena Murni Naleeni itu dihantar tanpa pengetahuan warga ALAF 21.

Tunggu punya tunggu, pada Februari 2008 salah seorang editor ALAF 21 iaitu Dilla telah menghubungi seseorang yang terdekat dengan Moon untuk mendapatkan soft copy manuskrip Sebutlah Namaku. Sepanjang manuskrip itu diproses, Dilla hanya dapat berhubung dengan seseorang yang terdekat dengan Moon saja. Sorry, Dill... ini demi keselesaan kita bersama.

Alhamdulillah... manuskrip Moon tu diterima tanpa perlu dirombak atau ditambah lagi. Jadi, perjalanannya lebih lancar lagi dan dapat diterbitkan pada Julai 2008. Ketika para editor ALAF 21 mengadakan perbincangan tajuk dan nama pena untuk Moon, barulah mereka tahu siapa penulis novel tu yang sebenarnya setelah diberitahu oleh Kak Wan, ketua editor ALAF 21. Moon minta maaf kerana terpaksa berahsia tentang hal ni pada semua warga ALAF 21. Terutama pada Dill. Rasa bersalah sampai sekarang tak habis lagi.

Kenapa Moon Berahsia?
1. Moon mahu editor-editor ALAF 21 menilai manuskrip Moon sebagai manuskrip penulis baru. Bukan salah seorang staf di situ.

2. Memberi keadilan kepada semua penulis baru yang menghantar manuskrip di ALAF 21. Moon juga mahu melalui proses yang sama seperti penulis baru yang lain. Manuskrip Moon mengambil masa yang lama juga untuk diterbitkan selepas setahun dihantar.


3. Mewujudkan keselesaan kepada editor yang memproses manuskrip Moon. Moon tidak mahu kerja-kerja itu dipengaruhi dengan elemen-elemen 'menjaga hati kawan'.


4. Sejujurnya, Moon lebih suka mendengar komen yang pedas-pedas daripada editor. Barulah Moon tahu di mana silap Moon. Yang bestnya, Moon dapat dengar semua itu.

5. Buat apa nak kecoh-kecoh sangat, kan? Moon nak orang kenal novelis Sebutlah Namaku sebagai Murni Aqila, bukan kerana Moon yang beritahu siapa itu Murni Aqila.

Moon harap, penjelasan yang panjang lebar ini dapat merungkai tanda tanya sesiapa sahaja. Jika ada yang bertanya lagi, Moon tak kisah untuk menceritakannya semula. Pada masa akan datang, Moon akan beritahu pula bagaimana idea novel Sebutlah Namaku dapat diilhamkan. Wasalam...