About Me

Friday, December 26, 2008

...SamBunGan iLhaM...

Dah berjanji, mestilah kena tunaikan. Kan? Dalam posting bertajuk ...iLhaM... ...iLhaM... Moon masih belum beritahu 4 lagi ilham yang lain dalam novel Sebutlah Namaku. Okeylah... Moon akan sambung bercerita lagi. 4 ilham yang belum Moon terangkan ialah:

5. Melamar dengan tajuk-tajuk novel Alaf 21
6. Terbaca emel orang lain
7. Masuk ICU
8. Bercinta dengan peragut

Melamar dengan tajuk-tajuk novel Alaf 21:
- Yang ni, ramai betul orang bertanya pada Moon. Antara sebabnya, idea ni seakan-akan sama dengan novel Warna Hati karya Meen Zulaikha. Oleh kerana Moon punya novel keluar bulan Julai, manakala Warna Hati keluar pada bulan Mei tahun yang sama, orang kata Moon 'ambil' idea Kak Meen. Sumpah... Moon langsung tak ciplak idea Kak Meen.

Untuk pengetahuan semua, novel Moon dikarang sepanjang tahun 2006. Dan kemudian novel tu dihantar ke Alaf 21 pada Januari 2007.
Hanya pada Julai 2008 novel tu diterbitkan. Kesimpulannya, idea Moon dengan Kak Meen kebetulan sama. Cuma scene novel Moon di dalam kedai buku. Manakala Kak Meen punya novel lebih umum. Tak sangka pula Moon ni 'sekepala' dengan Kak Meen. Hehehe... Boleh jadi kawan karib ni!
Makan time masa Pesta Buku 2006 di PWTC. Pakai baju rasmi lagi!

Idea ni boleh tercetus dalam fikiran Moon masa Pesta Buku Antarabangsa 2006 di PWTC. Moon ada kat sana masa tu. Tengah-tengah sesak dalam booth Alaf 21, tiba-tiba Moon dengar ada orang bersuara, "Lafazkan cintamu." Moon terkejut dan berpaling. Seorang peminat novel bertanyakan novel itu pada Moon rupa-rupanya. Kalau orang yang tak faham, mesti terfikir benda lain. Mujur yang bertanya tu perempuan.
Moon tengah bekerja keras di booth Alaf 21. Yang pakai tudung biru tu...

Dalam situasi yang lain, staf Alaf 21 yang bertugas ketika itu melaung-laungkan setiap tajuk novel yang sudah kehabisan atau stok novel yang baru sampai. Sehinggakan Moon terfikir, tajuk-tajuk novel Alaf 21 ni boleh dijadikan luahan perasaan sebenarnya. Masa tulah Moon dapat idea nak masukkan scene melamar dengan menggunakan tajuk novel-novel Alaf 21.

Terbaca e-mel orang lain:
- Hahahaha... terpecah tembelang kat sini. Sungguh, Moon terbuat perkara tak baik ni sekali aje dalam hidup Moon. Moon tak nak sebut siapa. Nanti kantoi! Wakakakaka...
Suatu hari, Moon pinjam guna komputer member Moon semata-mata nak guna internet. Masa tu komputer Moon punya internet 'weng'. Dengan tanpa minta izin, Moon guna komputer dia. Masa tu, waktu rehat. Tanpa diduga, dia tak log out e-mel Yahoo! dia. Moon pun macam tertarik nak baca e-mel dia sebab ada satu tajuk tu lain macam sikit.
Tanpa mengenangkan dosa, Moon buka dan baca e-mel tu! Tak sangka sungguh, member yang pendiam itu sedang cuba nak tackle seorang gadis. Jeng, jeng, jeng...
Diam-diam ubi budak tu sebenarnya.
Lepas baca e-mel tu, Moon kembalikan e-mel itu dalam keadaan asal. Takut dikesan. Moon simpan rahsia ni sampai sekarang. Sekarang Moon dah luahkan pun, rasa-rasanya tak ada sape yang tahu siapa orangnya.
Buat member Moon tu, sori ek... Janji tak buat lagi!

Masuk ICU:
- Masa arwah abah Moon masuk ICU, Moon menggelabah habis. Menunggu kat luar macam rasa nak pengsan. Masa tu arwah abah Moon buat operation pintasan jantung. Sepanjang petang tu, tak senang duduk jadinya. Alhamdulillah... operation tu selamat dan arwah abah sedar sejurus operation tu selesai.
Memang kuat betul semangat arwah masa tu. Namun, ajal tidak memilih kasih. Arwah abah pergi jua beberapa tahun kemudian. Peristiwa itu membuatkan Moon semacam beremosi sikit. Apabila ada yang meninggal dunia dan Moon melawat, terus Moon teringatkan arwah. Berderai air mata jadinya.
Masa pak lang Moon masuk hospital sebab penyakit jantung, serta-merta Moon teringatkan arwah abah. Entah kenapa Moon pandang pak lang macam arwah abah. Menangis Moon kat hospital masa tu. Teringatkan arwah abah.
Semua perasaan dan kejadian yang Moon pernah rasai tu, Moon masukkan dalam novel ni. Itulah sebahagian pengalaman yang pernah Moon alami.

Bercinta dengan peragut:
- Ini cuma khayalan Moon aje. Moon ni kadang-kadang suka fikir yang bukan-bukan. Antaranya, Moon terfikir... macam mana agaknya kalau Moon kena ragut. Lepas tu Moon suka dengan peragut tu. Benda-benda macam nilah yang memberi Moon idea nak menulis. Pendek kata, Moon suka berangan... suka berkhayal. Tapi Moon akan kata, tu bukan berangan. Tu berfikir namanya. Wakakaka....

Tertunai sudah janji Moon. Lega rasanya... Sesiapa yang dah baca novel Sebutlah Namaku, terima kasih banyak-banyak. Yang belum lagi, harap sudi membacanya.

Tuesday, December 9, 2008

...SaTu pEnGorBanaN...


Salam Aidil Adha...
Tahun ni, sambutan untuk meraikan kegembiraan mereka yang dapat menunaikan fardu haji dan memperingati kisah Nabi Ibrahim ini begitu sederhana. Lebih-lebih lagi dua hari menjelang hari raya haji, kita dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, KL. Sedih apabila membaca kisah mangsa runtuhan itu dalam akhbar.

Mengingatinya, membuatkan Moon terfikir dalam rasa penuh keinsafan. Malapetaka menimpa atas izin Tuhan hanya kerana dua perkara ini iaitu bala atau ujian. Moon memandang pada kedua-duanya sekali. Jika sesuatu perkara buruk yang terjadi, Moon akan muhasabahkan diri, mencari kesalahan yang belum diperbaiki. Pasti ada sesuatu yang membuatkan kita mesti tersedar sebelum terlambat. Dan Moon anggap itu juga sebagai ujian daripada Tuhan untuk menguji hamba-Nya sama ada benar-benar beriman dan sabar menghadapi kesulitan.


Sesuai dengan kedatangan Aidil Adha, mengingatkan kita pada sebuah pengorbanan. Sejauh manakah kita berkorban pada jalan kebaikan supaya semakin hampir kepada Allah? Jika dihitung dari sejak dilahirkan sehingga kini, mungkin hanya boleh dibilang dengan jari. Rasa kerdil benar di hadapan Tuhan Yang Maha Mengetahui.


Moon masih lagi bertanya pada diri, bila Moon akan sampai ke Mekah mengerjakan rukun Islam kelima itu? Dan bilalah agaknya Moon dapat mengorbankan harta ke jalan Allah? Sedangkan diri masih sibuk hendak mengumpul harta dunia dan wang ringgit dileburkan semata-mata untuk memenuhi kehendak nafsu sendiri...


Friday, December 5, 2008

...iLhaM... ...iLhaM...

Moon pernah janji nak beritahu bagaimana Sebutlah Namaku diilhamkan di bawah tajuk Aku Menulis Bukan Kerana Nama. Maaflah... lama sangat nak tunaikan janji. Saja je posting yang bukan-bukan dulu sambil meng'fresh'kan minda. Huhu...

Sebutlah Namaku... banyak mengadunkan pengalaman Moon dan mereka yang Moon kenal. Rencah-rencah inilah yang Moon garapkan untuk dikongsikan bersama. Antaranya:

1. Kejadian ragut
2. Tersalah nombor
3. Terbercinta dengan pakwe member
4. Kerja di pusat tuisyen
5. Melamar dengan tajuk-tajuk novel Alaf 21.
6. Terbaca emel orang lain
7. Masuk ICU
8. Bercinta dengan peragut

Kejadian ragut:
- Moon mengaku pernah diragut. Serius, sungguh mendebarkan! Pengalaman yang terjadi pada tahun 2002 itu masih terimbas-imbas dalam fikiran. Kejadian tu bukan berlaku di lorong-lorong sepi, tapi di tengah-tengah tempat orang ramai!
Bayangkanlah... Moon jalan sorang2 masa tu sambil menjinjing beg uncang. Masa tu, lebih kurang pukul 2.25 petang, hari Jumaat. Panas terik sungguh!
Tiba-tiba terasa ada orang orang tarik beg uncang Moon. Moon ingatkan ada kengkawan nak mengusik. Tub-tub ada motor lalu sambil tarik beg Moon sekali. Apa lagi, Moon menjeritlah macam pontianak. Sayangnya... tak ada sesiapa pun yang terdaya mengejar peragut bengong tu.
Buat peragut tu, Moon nak ucapkan selamat menerima balasan atas perbuatannya. Hehehe... siap ada dedikasi lagi!


Tersalah nombor:
- Dulu-dulu, masa telefon bimbit mula diperkenalkan, ada-ada saja yang tersalah nombor. Pura-pura tersalah nombor pun ada. Moon pernah juga alami kejadian tu. Tapi tak pernah sampai bercintalah.
Member Moon yang tidak boleh didedahkan identitinya pernah melalui hal ini. Tersalah nombor, kemudian berjumpa (blind date) dan lepas tu bercinta. Tapi tidak kekal sampai ke jenjang pelamin. Tak ada jodohlah tu...

Terbercinta dengan pakwe member:
- Hui... ngerinya kalau jadi hal ni pada diri kita. Hal ni pun pernah terjadi pada member Moon. Dia tak tahu yang perempuan ni dah ada tunang. Yang perempuan tu pulak melayan, berlagak macam tak ada tunang! Last2, kantoi jugak. Rasakan!


Kerja di pusat tuisyen:

- Seumur hidup, Moon belum pernah kerja kat pusat tuisyen. Pusat tuisyen pun tak pernah masuk masa zaman sekolah dulu. Idea nak jadikan watak Ameelisa kerja kat pusat tuisyen timbul apabila ex-boss Moon dulu, Dr. Nawi Jusoh pernah buka pusat tuisyen. Sedikit sebanyak dia ada bercerita tentang pusat tuisyen tu. Juga konsultan yang dia jalankan. Dia ambil keputusan nak tutup sebab penat nak uruskannya. Bangunan yang menampung kelas tuisyen disewakan. Rasanya lagi lumayan kot...

Untuk 4 lagi ilham seterusnya, Moon akan cerita next time. Dah panjang sangat ni. Nanti bosan pulak nak baca. Okeylah, adios...


Tuesday, November 18, 2008

...i'M iN mOtiVateD...

Untung juga kerja kat tempat yang ada disediakan kursus motivasi ni. Kalau nak harapkan pergi sendiri, memang tak pergilah jawabnya. Dahlah bayarannya mahal! Masa mula-mula dapat tahu kena pergi kursus, rasa lemahnya. Kursus tu dua hari. Aduh... weekend pulak tu. Disebabkan kedatangan adalah diwajibkan, pergi jugaklah akhirnya.

Setelah 15 minit kursus bermula, barulah Moon sedar betapa bagusnya menghadiri majlis ilmu seperti itu. Terfikir pula, kenapa hal yang tak mendatangkan faedah atau lebih pada hiburan, rajin betul kita pergi. Tapi kalau majlis ilmu macam tu, liat betul! Bila memikirkan hal tu saja, mula timbul keinsafan dalam diri.

Secara umumnya, Moon simpulkan bahawa kursus yang Moon hadiri tu mengajak kita berfikir dan menginsafi kesilapan yang kita dah buat. Nobody perfect! Bermula dengan rasa hidup ini mesti ada sesuatu yang ingin kita capai, kita perlu sedar dan insaf. Semua impian yang ingin dikejar, perlu bermula dalam diri kita sendiri.

Pastikan hati kita benar-benar teguh, rohani kita bersedia dan fizikal mampu untuk menempuh segala cabarannya. Jadikan kerja dan keluarga sebagai tempat untuk kita beribadah, kerana bermula dari situlah amalan kita dikira.


Sebaik sahaja selesaikan berkursus selama dua hari, Moon katakan pada diri sendiri:
1. Moon, jangan salahkah orang lain dalam apa jua perkara. Salahkan diri sendiri. Kerana dengan cara itu, Moon akan nampak kelemahan diri dan cuba memperbaiki diri.
2. Cukup-cukuplah mengata hal orang lain. Tak payah nak mengkritik, merungut dan tuding salah orang saja. Tak guna tu semua. Kan lebih baik kalau Moon fikirkan macam mana nak memajukan diri sendiri. Takkan nak duduk kat takuk ni sampai bila-bila.
3. Buat baiklah dengan semua orang. Tak kiralah pada sesiapa pun, terutama pada emak. Percayalah... kalau Moon sayang semua orang, orang akan sayang pada Moon.

Nak berubah memang payah. Sekurang-kurangnya, mulakan dengan niat nak berubah. Cuba dulu baru tahu kat mana kemampuan kita. Buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh, semoga Moon dapat apa yang dipanggil keberkatan. Insya-ALLAH... Kita sendiri yang boleh ubah diri kita sendiri. Kalau tak dapat apa yang kita nak, salahkan diri sendiri. Sebab tu kita kena ada P.E.T.A dalam hidup. People Turn Around... Pulang ke pangkal jalan.


p/s - Encik Abdul Mutalib memang motivator yang kelakar. Seronok dapat kenal dengan dia. Dan dia dah cuba buat sesuatu yang baik untuk masyarakat. Menyedarkan sebelum terlambat, ingat-mengingati sesama manusia. Takkan lupa lawak dia yang selamba. "Kain sarung digulung-digulung sambil kait rambutan, sedar-sedar kain dah jadi tali pinggang." Wakakaka.....

Dan jangan sesekali meniru aksi di bawah:



Wednesday, November 12, 2008

tHE FaCE ReVEaL

Jadi mangsa tag lagi! Sekali lagi dikenakan oleh Kak Hani Fazuha. Waaa...
Nasib baik tak susah sangat. Fuhh...

1. Take a recent picture of yourself or take a picture of yourself right now.
2. Don't change your clothes, don't fix your hair. Just take a picture.
3. Post that picture with no editing.
4. Post this instruction with your picture.
5. Tag 10 people to do this.


Moon ambil gambar ni pada 7 November 2008. Gambar paling baru. Masa ni officemate Moon, si Fira lastday kerja kat situ. Kiranya, ni farewell untuk dia. Kak Wan siap belikan kek untuk dia. Untuk Fira, semoga berjaya dalam kerjaya terbaru. Akak tahu Fira kalau buat apa-apa, memang sungguh-sungguh. Teruskan sikap macam tu sebab ia adalah aset untuk berjaya. Jangan lupakan akak ek... Miss you much. Muahhh!!!

p/s: Bantal bentuk love kaler pink tu memang bagi akak ke, Fira? Kot ye pun nak bagi, basuhlah dulu. Hehehe...

Mangsa seterusnya... tak payahlah ek. Tak sampai hati nak kenakan orang. Moon kan budak baik? Budak baik mesti tabah!

Tuesday, October 21, 2008

mAnGsA taGGeD!

Moon ternganga sekejap bila Kak Hani Fazuha jadikan Moon mangsa seterusnya untuk game yang tak tahulah sape mulakan ni. Aduh...
Hmm... termenung jadinya bila kena imbas balik zaman sekolah yang banyak betul kenangan yang mengusik hati.
Okey... zaman sekolah yang Moon nak ceritakan ni masa form 4-5. Zaman ni yang paling best sekali.
3 TABIAT BURUK ZAMAN SEKOLAH
1. Wrap buku latihan dengan kertas dari majalah GILA-GILA dan GELI HATI. Moon akan pilih bahagian kartun yang berwarna supaya kelihatan menarik. Yang bestnya, bila masa terluang boleh baca kartun tu. Kelakar bila fikirkan balik. Moon sorang je yg buat macam tu. Cikgu lak tak kisah. Ntah apa2 je kan?


2. Moon dulu pakai kain meleret-leret sapu lantai. Teruk betul! Wahahaha... Bila cikgu nak buat spot check, barulah sibuk gulung sampai nampak buku lali. Lepas tu, menyeret balik. Bak kata mak, rumah dah tak payah sapu. Dah ada orang sapu sambil berjalan.


3. Pakai name tag nama orang lain. Dulu, Moon ahli koperasi. Bila tiba masa jaga koperasi, Moon ternampak ada satu kotak kecil untuk diletakkan name tag yang tersalah ejaan nama atau rosak. Ada satu nama tu buat Moon rasa suka nak pakai. SHAN... Cikgu cuma geleng kepala je. Hehehe...3 FAVOURITE SUBJEK... KENAPA?
1. Math - best sebab tak payah baca. Moon skor A2.

2. Sains - cikgu yang mengajar best giler. Form 4 & 5 dapat cikgu yang sama. Cikgu Rashid, miss you damn much. Skor A2.

3. Perdagangan - tak tahu kenapa bila belajar subjek ni terus masuk dalam kepala otak satu per satu. Skor A1. Cayalah!


3 SUBJEK X BEST... KENAPA?
1. Sejarah - bosan! kena hafal dan ingat nama, peristiwa, tahun dan kisah dulu-dulu. Argh... menyeksa jiwa.

2. Sejarah - wahahaha... subjek ni menduduki carta pertama dan kedua. Pendek kata, subjek ni paling tak bestlah. Membuatkan Moon pening. Aduh...

3. PJK - Moon bukan tak aktif dalam sukan, cuma menyampahnya bila time nak tukar baju. Dahlah tengah kepanasan, berpeluh-peluh. Lepas tu tergesa-gesa salin baju. Rasa tak selesa, melekit-lekit, berlengas... tak usah cakaplah. Kerana tak suka sangat nak melalui saat-saat tak best tu, sanggup pergi tolong cikgu lain buat kerja.

MENARIK PADA KAMU...
Ada yang menarik ke? Menolak adalah... hahahaha...

Ada orang kata, Moon gelak best. Ada yang kata cara Moon gelak kelakar.
Ada jugak yang terkejut bila dengar Moon gelak. Wahahaha... Nak tahu, kenalah dengar sendiri. Tu je kot yang menarik pasal Moon.

KAMU PALING SUKA...
Banyak yang Moon suka. Macam-macam... Tapi yang lain daripada orang lain, Moon suka minum air jarang atau orang panggil air masak. Ada orang panggil air kosong. Kalau air mineral, lagi Moon suka. Sehari tak dapat minum, tak sah. Mesti teringat-ingat. Sedapnya...

ANDA TAK BOLEH HIDUP TANPA...
Yang Maha Besar. Kerana DIA Moon hidup, kerana DIA Moon akan kembali.
SEBELUM TIDUR MALAM, SIAPA YANG DIHUBUNGI?
Hmm... Tak ada sesiapa. Sebab siang-siang dah call. Wahahaha...

MANGSA SETERUSNYA...
Alang-alang Moon dah kena, Moon pun nak kenakan orang. Calon-calonnya ialah:
1. Hezzy Azra
2. Lily Suriani
3. Lya Sweet


Wahahaha... Tolong jangan baling telur. Lari...

Friday, September 26, 2008

...sELaMat HaRi rAyA...

sALaM aiDiLfiTri...

Ramadan bakal berakhir. Alhamdulillah... dapat juga kita menjalani ibadah puasa tahun ini seperti yang diwajibkan. Apabila terbenam sahaja mentari terakhir Ramadan, Syawal pula yang menjengah. Aidilfitri... simbol kemenangan umat Islam menunaikan ibadah puasa dengan penuh keikhlasan.

Pada bulan yang mulia ini, Moon ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua umat Islam. Maafkanlah segala salah silap Moon selama ni. Moon dah berbuat baik dengan semua orang. Moon cuba sedaya mungkin untuk tidak menyakiti hati orang yang mengenali Moon. Moon juga dah berusaha untuk tidak bermusuh dengan sesiapa sahaja. Tetapi seandainya ada perlakuan Moon yang tidak disenangi dan menyakitikan hati, Moon minta ampun banyak-banyak. Moon akan memperbaiki diri untuk menyenangi setiap hati yang Moon kenali.

Kepada sesiapa yang Moon kenal atau yang mengenali Moon, Moon maafkan apa sahaja salah dan silap. Moon tak pernah simpan dalam hati kerana Moon percaya, setiap insan di dunia ini tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Diharapkan kita sama-sama menyesalinya dan tidak mengulanginya lagi.

Sekali lagi Moon minta maaf, halalkan makan dan minum Moon jika ada dan selamat berhari raya. Jaga diri walau di mana kita berada. Hati-hati apabila memandu dan semoga selamat sampai ke destinasi yang dituju. Ingatlah orang yang tersayang. Nak tahu macam mana nak ingatkan orang yang tersayang? Pakailah topi keledar... nanti ingatlah orang yang tersayang! Wahahaha...

Friday, September 19, 2008

mEnanTi caHaYa SyaWaL


Send this eCard !

Kedatangan Syawal sudah mula dirasai.
Ramai yang sibuk membuat persiapan menyambut ketibaannya.
Tapi jangan lupa tuntutan ibadah di bulan Ramadan.
Itu yang patut kita utamakan.
Agar tahun ini lebih baik daripada tahun sebelumnya.
Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri...

Wednesday, September 10, 2008

jiKa RinDu...

10 Ramadan menjelang lagi. Mengingati tarikh ini, cukup membuatkan hati Moon berasa sebak. Jika dibiarkan Moon mengenangkan kembali peristiwa yang pernah berlaku pada tiga tahun yang lalu, pasti Moon akan mengalirkan air mata. Sukarnya hendak menangkis kesedihan itu. Wajah seseorang terimbas di ruang ingatan. Wajah itu penuh dengan kasih sayang. Nasihat demi nasihatnya masih segar bertapak di hati ini. Dan rasa rindu mula menggebu di jiwa.

Sahadan bin Mohd Salleh... satu nama yang tidak mungkin Moon lupakan. Kadangkala berharap benar dapat mengulangi kisah-kisah silam. Ingin sangat dapat bertemu semula, menghabiskan masa yang dulu jarang Moon luangkan bersama. Untuk mengungkap kerinduan itu, memang payah Moon menukilkannya. Kerana kerinduan itu tidak terzahir dengan kata-kata sahaja. Hanya doa Moon kirimkan, agar arwah abah ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Amin...

Ini kali pertama Moon berbicara tentang hal yang lebih peribadi. Kerana Moon fikir, tarikh hari ini menyebabkan Moon benar-benar berasa kehilangan. Membuatkan Moon mula menganggap bahawa kasih sayang yang kita ada selama ini perlu ditunjukkan pada setiap masa, selagi nyawa masih dikandung badan. Apatah lagi dengan sesama insan.

Friday, August 29, 2008

BiLa mAsiH bErnAfaS...


Pada 31 Ogos 2008 ini, negara kita akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-51. Bermacam-macam acara diadakan untuk memastikan rakyat Malaysia tidak lupa bahawa negara kita dahulu pernah bertumpah darah untuk menghalang negara dijajah. Malaysia adalah hak rakyat Malaysia. Maka, buktikanlah negara yang kita cinta ini dipertahankan agar tiada kuasa jajahan luar kembali menaklukinya lagi. Sayangilah MALAYSIA...
Sebagai umat Islam yang patuh pada ALLAH dan rasul-NYA, rukun Islam yang ketiga ini memang ditunggu-tunggu kedatangannya. Selamat menyambut kedatangan Ramadan al-Mubarak yang penuh dengan keberkatan. Semoga kita diberi peluang untuk menikmati rahmat ALLAH di bulan ini. Dan berdoalah supaya puasa kita ini akan memberikan kita kekuatan spiritual dan latihan disiplin diri terhadap tuntutan nafsu.

Friday, August 15, 2008

tEtaP daLaM kEnaNgAn...

Sejauh mana kita membawa diri, kenangan jua yang mengekori.
Biarlah ia disimpan sebagai hadiah untuk masa depan.

Kerana ia dicipta untuk terus diingati, demi memperbaiki kesilapan diri.

Monday, August 11, 2008

aKu mEnuLis buKaN keRaNa nAMa...

Salam buat pembaca blog.... Moon menyepi seketika melakar tinta di sini. Sengaja mengambil peluang untuk berfikir dan berfikir secara lebih idealistik. Kadangkala bila selalu menulis, kita tidak berkesempatan menggunakan deria yang lain. Banyak yang boleh didengar, ada perkara yang mesti kita baca dan lebih masa diperlukan untuk menghayati.

Ramai yang bertanya dan tertanya-tanya. "Bila Moon menulis? Macam mana dapat idea? Apa perasaan sekarang?" Dan... biasanya soalan-soalan itu diakhiri dengan, "Senyap-senyap aje menulis. Tahu-tahu dah ada novel dah..." Memang jenuh juga nak menjawab soalan yang sama dengan berlainan orang. Tapi Moon tak pernah rasa bosan bila bercerita tentang itu.

Moon fikir, ada baiknya jika Moon catatkan perjalanan yang penuh liku dalam menghasilkan sesebuah manuskrip. Kerana Moon berasakan ia adalah satu rentetan kisah yang akan menjawab bisikan-bisikan yang kurang manis Moon dengar.

Bila Mula Menulis?
Kali pertama Moon dapat menyiapkan sebuah manuskrip novel ialah pada tahun 2004. Boleh tahan ketebalannya, lebih kurang 400 halaman kalau Moon tak silap. Dengan tajuk Sayangi Daku dan bertemakan penganiayaan kanak-kanak, manuskrip itu dihantar ke ALAF 21. Percubaan itu GAGAL mendapat tempat di hati para editor. Apa yang dapat Moon simpulkan daripada keputusan itu, kisah cinta yang menjadi perhatian pembaca.

Usaha Moon untuk menulis tidak terhenti begitu sahaja. Cuma mengambil masa untuk bangkit semula. Moon kembali menulis pada 2006 setelah setahun mencari ilham. Wahahaha... Pada awal Januari 2007, baru Moon hantar ke ALAF 21 setelah dua kali manuskrip itu disemak. Bimbang kalau-kalau ada yang membuatkan ia direject. Manuskrip yang bertajuk Sebutlah Namaku dan bernama pena Murni Naleeni itu dihantar tanpa pengetahuan warga ALAF 21.

Tunggu punya tunggu, pada Februari 2008 salah seorang editor ALAF 21 iaitu Dilla telah menghubungi seseorang yang terdekat dengan Moon untuk mendapatkan soft copy manuskrip Sebutlah Namaku. Sepanjang manuskrip itu diproses, Dilla hanya dapat berhubung dengan seseorang yang terdekat dengan Moon saja. Sorry, Dill... ini demi keselesaan kita bersama.

Alhamdulillah... manuskrip Moon tu diterima tanpa perlu dirombak atau ditambah lagi. Jadi, perjalanannya lebih lancar lagi dan dapat diterbitkan pada Julai 2008. Ketika para editor ALAF 21 mengadakan perbincangan tajuk dan nama pena untuk Moon, barulah mereka tahu siapa penulis novel tu yang sebenarnya setelah diberitahu oleh Kak Wan, ketua editor ALAF 21. Moon minta maaf kerana terpaksa berahsia tentang hal ni pada semua warga ALAF 21. Terutama pada Dill. Rasa bersalah sampai sekarang tak habis lagi.

Kenapa Moon Berahsia?
1. Moon mahu editor-editor ALAF 21 menilai manuskrip Moon sebagai manuskrip penulis baru. Bukan salah seorang staf di situ.

2. Memberi keadilan kepada semua penulis baru yang menghantar manuskrip di ALAF 21. Moon juga mahu melalui proses yang sama seperti penulis baru yang lain. Manuskrip Moon mengambil masa yang lama juga untuk diterbitkan selepas setahun dihantar.


3. Mewujudkan keselesaan kepada editor yang memproses manuskrip Moon. Moon tidak mahu kerja-kerja itu dipengaruhi dengan elemen-elemen 'menjaga hati kawan'.


4. Sejujurnya, Moon lebih suka mendengar komen yang pedas-pedas daripada editor. Barulah Moon tahu di mana silap Moon. Yang bestnya, Moon dapat dengar semua itu.

5. Buat apa nak kecoh-kecoh sangat, kan? Moon nak orang kenal novelis Sebutlah Namaku sebagai Murni Aqila, bukan kerana Moon yang beritahu siapa itu Murni Aqila.

Moon harap, penjelasan yang panjang lebar ini dapat merungkai tanda tanya sesiapa sahaja. Jika ada yang bertanya lagi, Moon tak kisah untuk menceritakannya semula. Pada masa akan datang, Moon akan beritahu pula bagaimana idea novel Sebutlah Namaku dapat diilhamkan. Wasalam...

Thursday, July 31, 2008

bErpEstakAn bUkU di pKnS

Duduk dari kiri: Moon, Hani Fazuha dan Aida Adriani.
Berdiri dari kiri: Mala, Lis dan Fira. (semua staf ALAF 21)

Sekali lagi Moon bertemu dengan para pembaca yang berkunjung ke Pesta Buku Selangor 2008 di PKNS, Shah Alam pada 26 dan 27 Julai yang lalu iaitu pada hari Sabtu dan Ahad. Seronoknya apabila dapat bertemu dengan novelis ALAF 21 yang lain iaitu Aida Adriani dan Hani Fazuha.

Memang seronok! Kak Aida dan Kak Hani best dan tak sombong orangnya. Senang sekali berbaul-bual dengan diorang, tukar-tukar cerita dan berkongsi pengalaman masing-masing. Sempat menghabiskan masa makan tengah hari bersama lagi. Tapi, pada hari Ahad cuma Moon dan Kak Hani aje yang ada. Kak Aida tak dapat datang. Harap-harap dapat jumpa lagi lain kali.

Meriah suasana PKNS pada dua hari itu. Ramai yang berkunjung ke gerai ALAF 21. Staf-staf ALAF 21 pun semuanya mesra. Lis, Fira, Ziana, Liza, Mala dan Naz memang best! Inilah pengalaman pertama Moon dalam sesi bertemu pembaca di pesta buku. Hari Ahad, orang kuat ALAF fc iaitu Abang Long dan Mersik/Pokcik datang memberi sokongan. Diorang memang best. Cuma Moon tak berkesempatan nak berbual panjang dengan diorang. Ada umur yang panjang, kita jumpa lagi.


Kepada yang telah membeli novel Sebutlah Namaku, Moon ucapkan bebanyak terima kasih. Terimalah kemunculan pertama Moon seadanya. Moon akan memperbaiki kelemahan demi kelemahan dari masa ke semasa. Teruskan menyokong Moon ye...



Jejaka kacak yang bawa beg tulah Abang Mersik....
Posing lagi dengan Kak Hani dan staf ALAF yang comel2 tu.


Thursday, July 24, 2008

mAri bEraMai-raMai!

KITA BERPESTA LAGI!
Pada tahun ini, Pesta Buku Selangor 2008 akan diadakan pada 25 Julai - 3 Ogos 2008. Sebanyak 100 gerai daripada para penerbit dan pengedar buku terkenal negara berkampung di Kompleks PKNS, Shah Alam.

Datang dan bawalah keluarga, saudara-mara dan kawan-kawan berpesta di sana. Kerana pesta ini akan memperkayakan ilmu. Khabarnya, semua buku dijual dengan harga diskaun yang memang tidak dapat di mana-mana kedai. Peluang baik ni....

Jangan lupa kunjungi gerai ALAF 21!
Temui novelis popular ALAF 21 iaitu Aida Adriani dan Hani Fazuha serta Murni Aqila di sana. Klik sini untuk maklumat terkini.
Bagi yang belum sempat memiliki novel Sebutlah Namaku, dapatkanlah di sana... pasti dijual dengan harga yang lebih murah. =)

Wednesday, July 23, 2008

pErtaMa kaLi.....


Pada 20 Julai 2008 di Kedai Buku Tinta Ilmu, Kompleks Ole-Ole Seksyen 18 Shah Alam tercatat satu kenangan yang tidak akan luput dari ingatan Moon. Pertama kali berhadapan dengan orang ramai bersama karya sendiri bagaikan satu mimpi.

Bersama Meen Zulaikha dan Anis Ayuni yang memang best terasa masa berlalu begitu pantas sekali. Sempat beramah mesra dengan diorang yang sangat sporting.

Turut memeriahkan majlis dengan jemputan ceramah dari MAIS yang membicarakan tentang hal-hal wasiat. Bagus untuk santapan ilmu pada waktu petang itu. Kumpulan nasyid yang baru menapak dalam industri seni iaitu Instinct turut menghiburkan hadirin. Memang berbakat budak-budak tu...

Tahniah buat Encik Baharom, tuan rumah Tinta Ilmu kerana berani menganjurkan acara yang agak besar bagi sebuah kedai yang baru setahun berdiri. Ada umur yang panjang, kita bertemu lagi.

Friday, July 18, 2008

tatkala ia hadir...

Alhamdulillah...
Penantian yang Moon tunggu sekian lama berbuahkan hasil.
Novel sulung Moon sudah pun terbit di pasaran.
Sebaik sahaja Moon dapat pegang novel sendiri, ramai mengucapkan tahniah.
Terima kasih banyak-banyak.
Dan soalan yang terbit daripada rakan-rakan, "Apa perasan sekarang?"
Moon tak terus jawab soalan tu. Cuma senyuman yang panjang lebar terukir.
Gembira yang tidak boleh nak diungkap dengan kata-kata.
Terharu ada... macam tak percaya pun ada...
Selalunya, tengok dan baca novel orang.
Sekarang, tengok dan baca novel sendiri.
Wahahahaha......

Yang kelakarnya, ada rakan-rakan yang minta autograph.
Lagilah menambah darjah 'ketidakpercayaan'.
Dalam tergelak-gelak, sign juga atas permintaan rakan-rakan.
Dalam hati sempat berbisik. Betul ke buku aku ni? Macam mimpi...
Sempat juga diorang mengusik. "Lepas ni, kena belajar sign autograph, jumpa peminat."
Makin berdebar-debar rasanya. Jumpa peminat? Ada ke?

Debaran makin kencang apabila diberitahu yang Moon ada sesi jumpa peminat.
Pada hari Ahad, 20 Julai 2008 di Kedai Buku Tinta Ilmu, Ole-Ole Shopping Centre, Seksyen 18, Shah Alam.
Rujuk di sini untuk maklumat lanjut.
Makin membuatkan Moon menggeletar bila novelis senior ALAF 21 iaitu
Anis Ayuni, Damya Hanna dan Meen Zulaikha turut berada di sana.
Apa pun, Moon terharu sebab walaupun penulis baru, sudah diberi peluang bersama penulis lama. Prolifik pulak tu....

Jika sesiapa sahaja yang berkesempatan datang pada hari Ahad ini, temuilah saya di sana.
Mungkin kita boleh berkenal-kenalan dengan lebih rapat.
Yang pasti, Moon akan hargai setiap detik bersama peminat. =)

Wednesday, July 9, 2008





"Alangkah indah
andainya kau lafazkan..."


Novel sulung muRn! aQ!La terbitan ALAF 21 ini
sudah menerjah pasaran.

Dapatkan sekarang!


SinOpsiS SeButLah NaMakU...


Ameelisa sedar betapa cinta hanya akan bermakna jika dua jiwa bersatu. Dan cinta lebih bermakna jika penyatuan itu disertai restu. Namun dia ragu-ragu, cinta siapa yang mempu menakluk hatinya.


Hairul - Romantisnya... cinta lelaki ini membuai-buai kasih ameelisa. Hingga rindulah yang menghiasi jiwanya. Tetapi ada insan lain mengharap cinta hairul.

Tajul - Ngeri apabila memikirkan lelaki inilah yang pernah meragut Ameelisa. Takdir menemukan mereka kembali dalam situasi berbeza. Terlalu baik sehingga lebur kenangan pahit semalam.

Johari - Pintu cinta yang dulu tertutup, kini terbuka untuk Ameelisa. Duda berputera dua ini mahu mengulangi cinta yang pernah kecundang. Dia yakin ameelisa tidak akan mengecewakannya.

Pelik... wajah Tajul membayangi Ameelisa di setiap langkah. Bercinta dengan peragut? Dia bingung sendiri. Dan ketahuilah, apa yang kita tahu sebenarnya bukan itu yang terjadi. Sesungguhnya, cinta.... sebuah perasaan yang tulus menyayangi sepenuh hati. Persis melodi indah, mendayukan hati. Tetapi, mengapa sukar memahami cinta? Sukar sangatkah?

Wednesday, July 2, 2008

Wednesday, June 4, 2008

.....aKaN daTaNg.....


"pErnAhkaH aNda tErFikiR...
aNda aKaN jAtuH ciNtA
teRhaDap sEorAng pEraGut?"


Memikirkannya saja sudah ngeri.

Apatah lagi jika mengalaminya.

Tetapi jika itu yang terjadi, mampukah kita menghindarinya?

Sedangkan kasih sayang semakin semar
ak di seluruh jiwa.
Bagaimana ya?


Persoalan ini yang akan muRn! aQ!la susuri dalam novel sulungnya.
Nantikan kemunculannya tidak lama lagi!


Tuesday, May 6, 2008

wELcOmE intO mY wOrLd!



Selamat Datang...

"Seorang lagi penulis baru muncul di arena penulisan.
Menjengah-jengah ke alam siber mencari ruang.
Harap diri ini bakal diterima memeriahkan industri penerbitan.
Dan terus aktif berkarya hingga ke titisan pena terakhir.
Nantikan kemunculan novel sulung Murni Aqila tidak lama lagi!"