About Me

Thursday, March 23, 2017

...isteri APA?...

“Tolong..! Tolong..!” Suri menunjuk ke arah Hani yang tenggelam timbul kelihatan tak berdaya. “Cepat selamatkan dia. Ya ALLAH...” Air mata sudah bergenangan. Dada bergemuruh macam nak pecah. Berdebar-debar!

Salah seorang budak lelaki yang tadi begitu seronok bermain air, meluru ke arah Hani. Seketika kemudian barulah yang lain-lain berani menghampiri dan cuba nak selamatkan Hani juga. Yang di tebing merapat ke arah Suri.

Budak lelaki tadi sebaik saja dekat dengan Hani, tanpa berlengah terus memaut kolar leher baju Hani. Hani yang terlentang cepat-cepat ditarik menghampiri tebing.

“Hani... Hani...” Suara Suri kedengaran teresak apabila melihat Hani bagaikan tak sedar. Mata Hani kelihatan terpejam.

Dia dan kawan-kawan yang berada di tebing cuba membantu membawa Hani naik ke tebing. Hani dibaringkan di atas tanah.

“Hani!” Suri bertambah gabra apabila melihat Hani tak bergerak. Dada yang berdebar makan kencang debarannya. Muka terasa pucat tak berdarah. “Hani! Bangun, Hani!” Tubuh Hani digoncang-goncangkan dengan tangannya yang terketar-ketar takut.

Kedengaran suara berbisik-bisik.

“Dia lemas ke?”

“Dia dah tak bergeraklah,” kata yang lain pula.

“Tepi! Tepi! Dia lemas tu. Ke tepi semua!” Budak lelaki yang menyelamatkan Hani tadi menyelinap masuk dari kelompok yang berkerumun itu. Semua memberinya ruang.

Sambil teresak Suri mengengsot jauh sedikit dari Hani.

Tak berlengah, budak lelaki itu berlutut di tepi Hani. Kepala Hani didongakkan supaya dagu terangkat ke atas. Teknik CPR mula dilakukan. Budak lelaki itu menekap mulutnya ke mulut Hani.

Tercengang Suri ketika itu. Tak faham apa yang Hani diperlakukan. Oleh kerana dia dah terlalu takut, dibiarkan saja sambil menggenggam tangan sendiri yang sedang menggeletar.

Kemudian, tangan budak lelaki itu menekan-nekan dada Hani berulang kali. Keadaan Hani masih sama. Masih tak bergerak. Suri makin risau. Terbayang wajah ibu dan ayah Hani. Apa yang aku nak jawab nanti? Aku yang ajak Hani mandi kat sungai ni. Air matanya tumpah semula.

Sekali lagi budak lelaki itu menekup mulutnya ke mulut Hani. Dihembus lebih kuat. Sesudah itu, dada Hani kembali ditekan-tekan.

Tubuh Hani tetap kaku. Tak ada respons. Kejur.

“Hani! Bangunlah, Hani... bangunlah!” Suri makin tak tentu arah. Meraung dia melihat Hani kejang tak bergerak. Jantungnya berdegup sangat kencang. Makin menggigil dia.

Semua yang berada di situ tak berani bersuara. Hanya memerhati budak lelaki itu yang masih mencuba menyelamatkan nyawa Hani. Kali ketiga budak lelaki itu mengulang semula teknik CPR itu.

Suri sudah terasa tubuhnya longlai ketika ini. “Selamatkanlah Hani, ya ALLAH...” Dilihat Hani tetap tak bergerak. Dia menangis semahu hati. Kuat dia meraung. Tak sanggup nak terima kenyataan yang Hani dah tak bernyawa.

“Hani! Hani! Bangunlah, Hani. Hani! Hani!”

*-*-*-*-*-*

ini petikan dari novel ISTERI ACAH-ACAH yang bakal terbit tak lama lagi.
nak baca penuh boleh klik sini.

~end~

No comments: